Wednesday, April 28, 2010

Alkisah PMG 2010...



Pada 23 - 25 Februari 2010 yg lalu, seramai 60  peserta lepasan SPM & STPM 2009  telah menyertai Perkampungan Menara Gading Sarawak 2010 (PMGS) anjuran Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) di Pusat Latihan Sarawak (PLS) JAKIM, Telaga Air.



Kami dan para peserta telah berkenalan bersama-sama selama 3 hari 2 malam yang berlainan latar belakangnya dan diisi dengan pelbagai aktiviti yang membolehkan para peserta berinteraksi antara satu sama lain. Antara lain, kami diajak bersama-sama memikirkan hala tuju yang penting dalam kehidupan, agar terlepas daripada kitaran normal kehidupan kami. Selain itu, kami didedahkan dengan kehidupan alam universiti yang lebih terperinci oleh Sdr. Khairul Anwar Shazali, Yang Dipertua PERKEPIS dan Sdri. Akmariah Abdullah, Naib Presiden HEWI Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).



Pada malam berikutnya, kami diuji dengan Malam Semangat Ukhuwah, iaitu menguji sejauh mana para peserta yang menyertai PMGS 2010 boleh menganjurkan satu majlis yang bertemakan keindahan kesenian islam. Pada malam tersebut, para hadirin dihiburkan dengan persembahan yang tidak kurang menariknya seperti nasyid,sajak dan  juga syair. selain itu, yang paling menarik perhatian sekali ialah bagaimana sebuah kumpulan yang mengambil bahagian menggunakan daya kreativiti masing-masing untuk menjayakan persembahan mawlid mereka pada malam itu iaitu dengan menggunakan baldi, gayung dan juga botol yang diisi dengan batu dan pasir bagi menggantikan alat muzik yg tidak dapat disediakan oleh AJK Peralatan.



Keesokan harinya, kami diberi tugasan untuk menubuhkan persatuan bagi mengeratkan ukhuwah antara kami. Pada masa itu, tertubuhnya kumpulan MaGAsT (Matang, Gita, Astana dan Tupong) dan MADAGASCAR (Zon Jauh). Selain itu, tahniah diucapkan buat saudara Razif dan saudari Afiqah dari kumpulan MADAGASCAR kerana terpilih sebagai peserta terbaik PMGS 2010.




"Semoga PMGS 2010 dapat menyingkap tabir diri agar sedar bahawa alam menara gading bukan semata-mata memenuhi dewan kuliah, menghafal nota mahupun menjawab soalan peperiksaan. Bahkan, alam universiti adalah tempat mengasah bakat, melatih jiwa pemimpin. Semoga kefahaman dalam menghayati kekuatan kerohanian (spiritualisme), keluasan fikiran (intelektualisme), cita-cita yang tinggi (idealisme) serta semangat kesukarelawanan yang berkobar-kobar (aktivisme) dapat disemat di jiwa, sebagai bekal berguna pada suatu hari kelak."

No comments:

Post a Comment